Sunday, 17 June 2012

Kenapa dinamakan negeri Syam? Siapa yang menamakannya?


 InsyaAllah, sejak sekian lama saya meninggalkan blog ini, dengan kesempatan yang ada, saya ingin bicarakan kepada sahabat-sahabat sekalian berkaitan dengan negara yang kita sayangi, negara yang ditindas rakyatnya hanya kerana ingin menegakkan kebenaran, dan ia juga merupakan salah satu negara munculnya para anbiya’ yang bersusah payah memperjuangkan dakwah mereka. Itulah Syria atau lebih dikenali sebagai  Syam dikalangan masyarakat arab.
 Di sini saya akan bawakan kepada sahabat-sahabat sekalian berkaitan dengan pengkajian para ulama tentang, bagaimana negara yang berkah ini dinamakan.. serta siapakah yang menamakannya…
 Baru-baru ini, saya telah mengkaji tentang negara Syria dalam kitab ‘Tarikh Dimascus Ibnu Asakir’(sejarah Dimascus Ibnu Asakir’). Saya dapati, pengarang buku tersebut menjelaskan tentang sejarah Dimascus satu persatu. Karangannya dalam kitab tersebut amatlah panjang sehingga mencecah 80 jilid! Saya baru sempat mengkaji jilid yang pertama sahaja dan insyaAllah akan menuruti jilid yang berikutnya. Sebagaimana yang saya katakan tadi, saya akan menceritakan serba sedikit tentang bagaimana penamaan atau penisbahan Syam itu boleh terjadi?
 Sahabat-sahabat sekalian, para ulama telah membahagikan kajian berdasarkan aqwal atau kata-kata ulama yang mutawatir(kata-kata yang diriwayat dari ulama terdahulu tanpa berlaku penambahan atau pengurangan)  tentang penamaan negara yang diberkati tersebut, antaranya:
           *Abu Al-Jild mengatakan:”Farsakh(ukuran yang hampir 3 batu) bumi ini adalah 24,000. Seribu Farsakh adalah untuk negara-negara arab dan selebihnya adalah yang selainnya”
 -Maknanya, negara Syam adalah termasuk dalam seribu itu. Negara arab juga terdapat lebih daripada 10 negara. Ini bermakna, negara arab adalah negara yang sangat meluas.
      *Ibnu Al-Muqaffa’ pula berkata: “Negara Syam telah dinamakan oleh Sam bin Nuh. Nama Syam dalam bahasa Syria adalah ‘syam’ manakala dalam bahasa Ibrani pula disebut ‘Syim’
     * Dikatakan bahawa: “ia dinamakan Syam adalah kerana ia terletak di sebelah kiri bumi, dan Yaman pula terletak di sebelah kanan bumi”
-kiri dalam bahasa arab adalah Syimal
-bila diteliti di dalam peta, kedudukan Yaman dan Syria adalah saling berjauhan, keduanya terletak dari hujung ke hujung. Cuba depakan tangan anda dan bayangkan hujung jari kanan anda adalah negara Yaman, dan hujung jari sebelah kiri anda adalah Syam ataupun Syria. Anda akan dapati kedua-duanya akan berada di hujung. Di pertengahan kedua negara ini pula terdapat juga negara arab yang lain seperti, Iraq, Jordan, Palestin, Lubnan,Makkah dan sebagainya.
*Ka’ab berkata: “dinding pertama yang terletak di muka bumi selepas Thufan adalah dinding Harran(sebuah kampung di kepulauan menuju ke Mosul di Iraq, Syam, dan Rom pada ketika itu.
-ini menunjukkan bahawa, negara Syam telah pun wujud sejak sekian lama.
Daripada Yunus Ibnu Rasyid, daripada Qasif, beliau mengatakan: “ketikamana Nuh mendarat bahteranya, maka terbitnya matahari dari sebelah bukit Hismi(negeri di padang pasir Syam berhampiran dengan Tabuk) yang telah menampakkan anak bukit Harran di antara dua sungai(Jilab dan Disan) Lantas, beliau terus ke Harran dan menamakannya Dimascus. Harran adalah bandar yang pertama dinamakan selepas Thufan, kemudian barulah Dimascus”
*Mansur Bin Yahya Bi Sa’id Al- Mausili berkata: “Bandar-bandar yang terawal ialah: Ka’bah, Mesir, Dimascus, Algeria, Ubullah(sebuah negeri di Basrah), Ninawi(di Mosul), Harran dan Sus( Morocco)
Inilah sekadar yang termampu untuk saya perincikan kepada sahabat-sahabat sekalian berkaitan dengan penamaan Syam itu sendiri. InsyaAllah, sejarahnya yang terkemudian, akan disiarkan pada masa yang akan datang dengan izin Allah..

No comments:

Post a Comment