Sunday 29 January 2012

Harapan: Alhamdulillah dapat bertemu dengannya


Tahun 2011
  Merupakan tahun yang meninggalkan banyak kesan sejarah dalam diriku. Aku terdiam, termenung, terfikir,tertekan, kadang-kadang menyesal dan sedih. Benarkah aku dah lalui tahun itu? Aku seakan-akan tidak percaya pada diri sendiri, benarkah kau sudah hadapi? Bagaimana kau hadapi? Apakah kesan ke atas apa yang kau hadapi? Tahun itulah diri ini cekal, tahun itulah diri ini lemah, tahun itulah penuh pengharapan kepada Allah, dan berkenaan tahun itulah aku ingin berkongsi.

 Awal Januari-Mac
  Aku pernah menghadapi saat-saat mengajar manusia yang bernama murid. Itulah kali pertama aku rasai pengorbanan seorang guru yang telah mendidikku. Sangat perit!! Memerlukan kecekalan, kesabaran, kebijaksanaan, dan akhirnya..... Tahun itulah aku berjaya untuk memilikinya setelah beberapa kali mengadakan kelas. 'Cikgu!' (anak murid memanggil...) aku pun pergi menunaikan hajatnya. Belum sampai lagi ke sisi murid tadi... 'Cikgu!' (anak murid yang lain pula memanggil) 'Jap...'(aku menjawab) 'cepat sikit!' (anak murid merayu) 'ahhhhhhhh!' (menyapa dalam hati). Begitulah susahnya untuk memperolehi apa yang terdapat pada guru-guru aku dahulu. 'Begitu cekal sungguh guru-guru yang telah mengajarku' Aku memikirkan semula zaman sekolah suatu ketika dahulu. Ini baru satu perkara yang aku belajar. 
   Selainnya, dengan izin Allah, sememenjak tadika hingga tamat persekolahan pada tingkatan 6, aku adalah seorang yang bersih dari pengaruh media yang bernama komputer. Komputer? Ya! Komputer! Sepertimana yang kita maklum, media seperti komputer adalah suatu alat yang boleh merosakkan manusia yang salah menggunakannya. Dengannyalah kita akan lalai dari mengingati Allah, dengannya jugalah kita akan rosak. Tetapi, jangan salah anggap pula. Dengannya jugalah kita akan dapat banyak manfaat dan kebaikan walaupun kita dalam keadaan lalai. Aku berada ditahap yang kedua ini. Oppss. Terlajak.. Ok. Aku seorang yang tidak pandai komputer. Pada tahun inilah Allah izin, aku belajar dengannya daripada seorang kawan aku. Semoga Allah merahmati beliau. Mengikut kebiasaan orang, mereka akan belajar komputer dengan bermula bermain 'game' yang terdapat di dalamnya. Tetapi aku tidak, aku belajar dengan membuka akaun yang bernama Facebook dulu. Aku belajar satu persatu sehingga aku mahir dengannya(fb). Di hari yang berikutnya, aku belajar perkara lain pula seperti menge-mel surat dan sebagainnya. Pada ketika itu jugalah aku baru memiliki pendrive. Memang ketinggalan la kau ni! Tapi, aku tabah menghadapinya. Sebelum aku terlupa untuk nak beritahu, aku belajar menggunakan komputer kepunyaan kawanku. Inilah merupakan perkara yang kedua yang aku tak boleh lupakan. Iaitu, belajar komputer.

 Awal Mac
  Aku tamat daripada praktikal mengajar. Aku pulang ke rumah. Di pendekkan cerita, pada bulan ini jugalah aku berjaya memiliki sebuah komputer riba hasil daripada permintaan daripada ayahku. Aku terus membelinya dan menggunakannya. Apa peranan aku membelinya? Saje ke? Tak... dengannyalah aku mudah untuk terbang ke bumi Syam ini. Alhamdulillah.

 Bulan Mac hingga Julai
  Aku ditugaskan menjadi warden di sebuah sekolah menengah lama aku. Pada ketika ini pula, baru aku dapat rasai pengorbanan seorang warden. Memang hebat siapa yang dapat bertahan menjadi warden. Hebat! Dalam masa yang sama, aku pun ditugaskan mengajar di sekolah rendah lama aku. Jadi, waktu siang aku megajar di sekolah, waktu malam aku bertugas menjadi warden. Banyak pengalaman yang aku belajar daripada guru aku yang menjadi warden ini. Seminggu aku bertugas menjadi warden, aku ditugaskan juga untuk mengajar tuisyen Matematik dan Bahasa Inggeris di sekolah menengah aku ini. Jadi, tugas aku untuk menjadi warden pada waktu malam terganggu sedikit. Memanglah kerja warden hanya mengawal pelajar seperti yang anda semua ketahui. Sebenarnya tidak, ia juga mesti mengawal hati yang terdapat dalam diri mereka. Susah….

 Bulan Ogos
  Aku bersiap-sedia dari segi pendaftaran, kesihatan dan sebagainya untuk berangkat ke bumi Syam. Cuma, apa yang ingin aku bawakan pada anda semua, berkaitan dengan harapan orang yang mengenaliku. Ibu bapa jangan cakaplah. Tetapi, ada seorang tua yang telah mengenaliku dan aku juga mengenalinya. Ia merupakan guru Muqaddam ketika aku kecil dahulu. Selalu kena marah dan rotan dengannya. Tetapi, sekarang ni, aku dah besar. Sudah lama aku tidak menjenguknya. Akhir sekali aku menjenguknya semenjak itu, ketika aku berumur 13 tahun tak silap. Tetapi, aku berasa kairan dengan dia. Kenapa? Setiap perkembangan aku dia memerhatikan sehingga saat-saat terakhir sebelum aku terbang ke bumi Syam, aku pun menjenguknya atas permintaan ibu aku. Aku pun pergi ke rumahnya. Setibanya ke hadapan pintu rumahnya, aku memberi salam. ‘Assalamualaikum!’. ‘Waalaikumussalam!’ Beliau menjawab. ‘Alhamdulillah, Allah makbul juga doa tok!’ Aku tercengang. ‘Kenapa?’ Aku bertanya. ‘Sebenarnya, tok dah lama berdoa supaya Allah membuka hati kamu untuk berjumpa dengan tok sebelum kamu terbang ke Bumi Syam’. Astaghfirullah… Aku menghembus nafas sambil membacakannya.. Aku bersyukur sangat kerana dapat menunaikan hajatnya dengan izin Allah. Inilah kuasa Allah. MasyaAllah! makbulnya doa dia..
 Bulan September, aku berlepas ke Bumi Syam. Peristiwa guru muqaddam aku yang sentiasa doakan aku tidak dapat aku lupakan. Perkara ini terbawa sehingga aku tiba di Bumi Syam. Bila berada di Syam pula, makin banyak pengalaman bertambah, lebih-lebih lagi berkaitan dengan sejarah Anbiya’. Aku membiasakan diri di bumi ini. Hari demi hari yang berlalu, makin banyak pengalaman. Kerinduan kepada ibubapa pun berbekas. Aku menelefon keluargaku yang berada di Malaysia untuk bertanyakan khabar. Dalam keadaan gembira bertanya khabar, ibuku memaklumkan kepadaku bahawa, guru muqaddam yang telah mengajar aku sejak aku kecil dahulu, telah kembali ke Rahmatullah… ‘Innalillahi Wainna Ilaihi Raji’un’. Aku melafazkannya.. Aku macam tidak percaya perkara ini boleh terjadi. Alhamdulillah dapat bertemu dengannya.. Inilah susunan Allah yang cantik.. MasyaAllah…

Berkat Zaitun

Minyak zaitun yang siap dibotolkan
 Pada 21 April 1997, tercatat di dalam sejarah buat kali pertamanya yang menyatakan, seramai 16 orang daripada pakar-pakar perubatan sedunia telah berkumpul di bandar Rom untuk mereka mengkaji, apakah rahsia-rahsia yang terdapat pada minyak zaitun?
 Setelah diteroka, mereka menyatakan bahawa, minyak zaitun mampu untuk menghindar penyakit jantung, kolestrol, tekanan darah tinggi, kencing manis, dan obesiti. Ia juga mampu untuk melindungi daripada kanser-kanser. Sehingga ke hari ini, dikatakan, makin banyak pakar-pakar perubatan menemui rahsia-rahsia minyak zaitun yang datang dari pokok yang berkat ini. Rasulullah bersabda dalam (صحيح الجامع الصغير), hadis nombor 4498:
"كلوا الزيت وادهنوا به، فإنه من شجرة مباركة"
Maksud:’’makanlah Zaitun dan lumurlah dengannya, maka sesungguhnya ia adalah daripada pohon yang berkat’’
 Begitulah, bagaimana ia tidak boleh tergolong dalam pohon yang berkat, sedangkan Allah pun telah bersumpah dengannya:
{ وَالتِّينِ وَالزَّيْتُون*وَطُورِ سِينِينَ} [التين: 1، 2]
 Sejarawan islam, Dr. Raghib As-Sarjani menyatakan bahawa, minyak zaitun ini merupakan hadiah daripada langit kepada manusia. Ia juga merupakan musuh kepada kolestrol yang akan membunuh mana-mana kolestrol yang terdapat di dalam badan manusia.

 Minyak zaitun dan kolestrol
 Tahukah anda bahawa, penduduk-penduduk Pulau Crete merupakan penduduk terendah di dunia yang menghadapi penyakit jantung, dan kebanyakan mereka membiasakan diri dengan makanan-makanan yang berminyak dan berlemak yang mengandungi minyak zaitun? Saya ingin tekankan bahawa, minyak zaitun ini telah membuktikan ia akan mengurangkan kadar kolestrol yang bahaya dalam darah dan juga mampu untuk menghindar daripada penyakit jantung.

Minyak zaitun dan kanser-kanser
Minyak zaitun sendiri seperti yang kita tahu, ia mampu untuk menghindar dari pelbagai penyakit kanser. Antaranya ialah, kanser payu dara, kanser rahim, kanser perut, kanser usus, Melanoma(kanser kulit), ulser(penyakit dalam perut) dan banyak lagi. Selainnya, ia juga bagus bagi penyusuan ibu yang melahirkan anak dan yang paling penting sekali, ia mampu untuk membunuh musuh di kepala kita, iaitu kutu.

Sebahagian daripada langkah-langkah pencegahan kutu:
1)Sapu minyak zaitun di kepala dan pakaikan ‘shower cap’ di kepala sebelum tidur.
2)Sikatkan rambut dengan sikat khas yang diperbuat daripada logam sebelum membersihkan kepala daripada minyak zaitun pada keesokannya.
3)Pastikan tiada kutu di sekitar kulit kepala.
4)Pastikan juga kulit kepala bebas daripada telur kutu.
Selepas itu, insyaAllah, sedikit demi sedikit ianya akan hilang.
Sebenarnya, masih banyak lagi khasiat-khasiat pada buah zaitun atau minyaknya ini, cuma mereka masih belum menemuinya lagi. Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah seperti hadis di atas bahawa, setiap perkara yang berkat itu pasti terdapat banyak kelebihan. Allahuakbar!

Saturday 28 January 2012

SEJARAH ANDALUSIA


Masjid Cordova

Andalus pada era kini ialah Sepanyol atau juga terkenal dengan Portugal dan juga dinamakan Semenanjung Iberia. Keluasannya telah mencecah hampir 600ribu kilometer iaitu kurang 2/3 daripada Mesir.
 Para pembaca sekalian, saya ingin maklumkan di sini bahawa sesungguhnya, Andalus itu mempunyai banyak peristiwa yang tersembunyi yang mesti kita ketahui. Mungkin peristiwa Andalus yang anda akan baca sebentar lagi tidak terdapat pada bahan bacaan yang lain. Wallahua’lam.
 Apa yang saya ingin tekankan pada para pembaca sekalian adalah berkenaan dengan peristiwa Pulau Barbados. Peristiwa pulau ini merupakan di antara peristiwa yang sangat penting dalam sejarah peperangan islam. Mengikut para pengkaji sejarah, ia sebenarnya menyerupai peristiwa Yarmouk dan Qadisiyah.
 Sebenarnya, ramai lagi yang tidak mengetahui sejarah Pulau Barbados dari mulanya. Sebagai orang yang menitikberatkan sejarah, mereka hendaklah mengkaji, adakah peristiwa pembakaran bahtera yang dikatakan telah berlaku pada zaman Thoriq Bin Ziyad benar atau ia hanya semata-mata rekaan? Ramai yang tidak jelas dengan kenyataannya. Bagaimana ia telah berlaku? Jika dikatakan ia tidak berlaku, kenapa tersebar kepada orang ramai?
 Selain itu, kita juga mestilah mengenali siapakah Abdur Rahman Ad-Dakhil Rahimahullah? Saya pernah memetik daripada para sejarawan yang menyatakan tentang Abdur Rahman Ad-Dakhil. Mereka menyatakan bahawa: ’tanpa Abdur Rahman Ad-Dakhil, maka agama islam tidak akan berkembang dengan pesat di Andalus’. MasyaAllah! Kita juga mestilah mengenali juga siapakah Abdur Rahman An-Nasir yg merupakan seorang raja yang hebat di Eropah ketika beberapa kurun yang lalu. Kita juga mestilah mengkaji, bagaimana beliau mampu memerintah dengan baik? Begitu juga dengan Yusof Bin Tashfen, kita hendaklah mengenali beliau juga dan ramai lagi pemimpin-pemimpin yang hebat pada zaman itu.
 Jika anda masih bersama saya, saya ingin bertanya, pernahkah anda mendengar berkaitan dengan Masjid Cordoba? Tahukah anda bahawa, masjid ini adalah di antara masjid yang terbesar dan teragung di dunia pada zaman itu? Tetapi, bagaimana ia telah diubah kepada gereja!!!??? Sehingga ke hari ini pula tu!! Lamanya…..
 Satu masjid lagi adalah, Masjid Ishlibiyyah pada asalnya dan ditukar kepada Seville. Sekarang ini, tempat ini dinamakan Bandar Seville,Sepanyol. Ia merupakan bandar ke-4 terbesar di Sepanyol dan juga merupakan Pusat Pentadbiran Wilayah Autonomi Andalusia.
 Sebenarnya, banyak lagi tempat yang cantik dan bersejarah di Sepanyol ini, antaranya, Universiti Cordova, Pustaka Umaiyah, Istana Zahra dan juga bandar Zahra. Kita sewajarnya tidaklah hanya sekadar membaca sejarah umum sahaja, sebaliknya kita mesti mengambil tahu juga sejarah yang jarang dinyatakan seperti, Istana Al-Hambra(istana merah) yang dahulunya merupakan sebuah masjid, istana dan kompleks kota silam kerajaan Moor Granada di Selatan Sepanyol dan juga merupakan tempat tinggal raja-raja islam Granada dan mahkamah mereka. Tetapi sekarang, menjadi sebuah visited bagi orang-orang islam dan juga bukan islam serta merupakan muzium yang mempamerkan kecantikan gaya senibina islam.Hmmmmm. Selain itu, jangan pula kita abaikan tempat-tempat yang ‘kekal’ iaitu yang telah menjadi grafik dan juga meninggalkan kesan runtuhan. Kenapa? Kerana ia mesti mengandungi sejarahnya yang tersendiri. Sebagai contoh, pernahkah kita melihat runtuhan ataupun tinggalan ‘Reef’, iaitu pondok yang telah ditinggalkan oleh nenek-moyang kita? Saya yakin, pasti terdapat sejarahnya yang tersembunyi selain daripada sejarah pondok itu sendiri. Jika anda ingin tahu, maka bertanyalah kepada orang yang tahu. Islam pun telah mengajar kita bagaimana nak menambah pengetahuan. Dalam Al-Quran Allah berfirman;
{فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ} [النحل: 43]
Bermaksud: ‘’Maka bertanyalah kepada orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui (sesuatu perkara)’’
 Akhir sekali, saya ingin menembak kepada anda semua beberapa soalan untuk kita fikir sejenak..
 Berbalik kepada peristiwa pepeangan Andalus,  bagaimanakah Andalusia jatuh? Apakah fakor-faktor kejatuhannya? Kemudian, bagaimana dan dimanakah pancaran matahari islam selepas kejatuhan Andalus? Bagaimanakah matahari ini boleh terbenam? Dimanakah pemimpin yang hebat seperti mereka yang telah disebutkan. Ingatkah anda pada tragedi Valensia? Bagaimana boleh terjadi sehingga seramai 60ribu umat islam di bunuh dalam masa satu hari? Kemudian, apakah peristiwa tragedi Barbushhtar dan apakah tragedi Ubbazah? Semua peristiwa ini tidak perlulah untuk saya menjelaskannya, sebaliknya anda perlu berfikir, Bagaimana semua ini boleh berlaku? Apakah kelemahan kita sebagai umat islam? Wallahua’lam.

Sedikit gambar-gambar mengenai Andalus:


Peta Pulau Barbados dalam Bahasa Inggeris
Peta Pulau Barbados dalam Bahasa Arab

 Bandar Seville

Bandar Zahara, Sepanyol

Ini dikatakan Masjid Seville

 Istana Hamra'

Ini juga merupakan Istana Hamra' atau Hambra


Friday 27 January 2012

Al-FATEH YANG DIKAGUMI


 Sultan Muhammad II atau dikenali dengan Sultan Muhammad Al-Fateh dilahirkan pada tahun 1428M atau 833H(tarikh islam) Nama penuhnya ialah Sultan Muhammad II Bin Murad II. Beliau merupakan Sultan yang ke-7 dalam senarai sultan Uthmaniyah. Beliau digelar sebagai Fateh dan Abu Khairat(sebaik-baik pemimpin) Pemerintahannya telah bertahan selama 30 tahun (1451M-1481M).
     Sultan Muhammad II(Fateh) telah memerintah Kerajaan Uthmaniyah sejurus selepas kemangkatan ayahandanya iaitu pada 18 Febuari 1451M atau dalam bulan islam pada tahun 855H. Sebelum saya meneruskankan dengan lebih lanjut, saya ingin memohon keizinan kepada para pembaca untuk saya bertanya beberapa soalan. Pada umur 20 tahun, apa yang telah anda semua lakukan? Bagi yang muda sedikit, apakah yang anda semua akan lakukan pada usia yang begitu muda dan tampan ini?(fikirlah sejenak) untuk pengetahuan para pembaca sekalian, sebenarnya umur beginilah kita akan terus mencuba banyak perkara. Tapi, bagi Sultan Muhammad Fateh, ketika umur 20 tahun, beliau juga telah mencuba banyak perkara, tetapi, bukan sekadar mencuba, bahkan terus menghadapi semuanya. Pada ketika ini, beliau telah ataupun sedang mengkaji peribadi dan sifat musuh mereka iaitu Tentera Byzantine, Kostantinopel. Menurut kajian beliau, penduduk atau Tentera Byzantine berdasarkan kepercayaan mereka, jika berlakunya gerhana dan pada masa yang sama ada pula suatu puak yang hampir menakluknya (Kostantinopel), maka empayar mereka akan mengalami keruntuhan. Apa yang menariknya, ketika Tentera Uthmaniyah sudah hampir untuk menawan Kostantinopel, pada ketika itulah dikatakan telah berlakunya gerhana. Tentera Byzantine terus mengalami tekanan yang amat dahsyat. Begitu bijaknya Sultan Muhammad Fateh ni kan? Beliau memang telah menjangka akan berlakunya gerhana, dan berjuang pada ketika itu yang menyebabkan mereka tertekan dan takut. Ini membuktikan bahawa, Sultan Muhammad Fateh juga amat bijak mengenai Ilmu Psycology.
     Seperti yang telah saya nyatakan di atas, bahawa Sultan Muhammad Fateh juga telah memerintah Kerajaan Uthmaniyah dalam umur yang begitu muda iaitu 22 tahun! Ahli-ahli sejarah menyatakan bahawa sesungguhnya, beliau mempunyai banyak keistimewaan, antaranya peribadi yang unik. Bagaimana? Dalam satu peristiwa pemilihan tentera, beliau adalah yang terbaik dari segi kekuatan Ruhi(dalaman). Semenjak baligh, beliau tidak pernah meninggalkan solat tahajjud, solat wajib, dan solat rawatib. Kita???
     Sultan Muhammad Al-Fateh juga sangat cenderung mengkaji buku-buku sejarah. Beliau juga mempunyai pengetahuan mengenai ilmu-ilmu Syariah Islamiyah dan suka mengajarkannya ataupun menyampaikannya kepada orang lain. Selain itu, beliau juga mahir dalam 6 hingga 7 bahasa seperti, Bahasa Turki, Greek, Hebrew, Arab, Parsi, Latin, ketika umur 21 tahun!!

Sedikit sejarah pembukaan Kostantinopel

    Sebelum Zaman Uthmaniyah, orang islam telah mencuba beberapa kali untuk menawan Kostantinopel. Ini adalah disebabkan mereka amat menitik beratkan dengan apa yang disabdakan oleh baginda s.a.w. Para sahabat sendiri sebenarnya, telah pun berlumba-lumba untuk menawan Kostantinopel. Tetapi, semuanya gagal untuk menawannya. Dalam satu hadis ada menyebut;
          Para Sahabat bertanya kepada Rasulullah, ‘’Bandar manakah yang akan dibuka dahulu wahai Rasulullah, Kostantinopel atau Rom?’’ Maka Rasulullah bersabda; ‘’Bandar Harqal(Hercules) akan dibuka dahulu iaitu Kostantinopel.
    Seorang Sahabat Rasullullah S.A.W, Abu Ayub Al Ansari pernah mengikuti ekspidisi perang menentang tentera Rom di Constantinople ketika di zaman kerajaan Bani Umaiyyah. Beliau ingin jasadnya dikuburkan di tembok Constantinople dan ketika ditanya mengapa beliau ingin dikuburkan ditembok tersebut, beliau berkata kepada panglima Bani Umaiyah: "Aku mendengar baginda Rasulullah S.A.W mengatakan seorang lelaki soleh akan dikuburkan di bawah tembok tersebut & aku juga ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang mana dia akan memimpin sebaik-baik tentera seperti yang telah diisyaratkan oleh baginda." MasyaAllah... Menitis air mata ini… .
    Kesimpulannya, saya ingin para pembaca sekalian dapat mengambil iktibar dari hadis Rasulullah yang berbunyi;

Diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad Ibn Hambal dalam hadis nombor 18189;

            حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ أَبِي شَيْبَةَ، وَسَمِعْتُهُ أَنَا مِنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ أَبِي شَيْبَةَ، قَالَ حَدّثَنَا زَيْدُ بْنُ الْحُبَابِ، قَالَ حَدَّثَنِي الْوَلِيدُ بْنُ الْمُغِيرَةِ الْمَعَافِرِيُّ، قَالَ حَدَّثَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ بِشْرٍ الْخَثْعَمِيُّ، عَنْ أَبِيهِ، أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ  يَقُولُ: لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ فَلَنِعْمَ الْأَمِيرُ أَمِيرُهَا وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ

Mafhumnya; Nabi S.A.W. bersabda; ‘Kostantinopel akan dibuka juga, maka sebaik-baik raja adalah raja yang membukanya, dan sebaik-baik tentera adalah tentera yang membukanya’
Sama-samalah renungkan……

Sedikit penerangan menggunakan gambar;

Ini adalah peta Bandar Kostantinopel. Bandar Kostantinopel juga telah ditukar oleh Sultan Muhammad Al-Fateh kepada Islambol (islam semuanya) yang kini merupakan Istanbul yang telah ditukar oleh Mustafa Kamal Ataturk. Di sekeliling itu adalah pagar-pagar yang telah dibina oleh tentera Byzantine untuk menghalang tentera islam untuk memasukinya, dengan kepintaran Al-Fateh, mereka berjaya menarik kapal-kapal menyeberangi bukit-bukit yang tinggi untuk belayar.
Masjid Istanbul yang kini menjadi tempat pelancongan.

Untuk pengetahuan semua, Kostantinopel dahulunya menjadi banya tumpuan disebabkan oleh tempatnya yang strategik dan unik.


 Rujukan: Kitab Addaulah Al'uthmaniyah yang dikarang oleh Dr. Ali Assollabi, Kaherah dan web islamstory oleh Dr. Raghib As-Sarjani.

Wednesday 25 January 2012

Costanstinople


Pengenalan
Istanbul atau yang dulunya dikenali sebagai Costantinople, adalah salah sebuah bandar nostalgia dunia. Tidak setakat tercatat oleh tinta Sejarah Islam, bahkan statusnya sebagai salah sebuah bandar utama dunia, pasti mengundang seisi alam manusia untuk meninjau dan menghubungkan sejarah kegemilangan masing-masing dengannya Istanbul diasaskan pada tahun 330M oleh Maharaja Byzantine iaitu Costantine I.

Kedudukannya yang strategik, diungkapkan oleh Napoleon Bonapart kalaulah dunia ini sebuah negara, maka Costantinople inilah yang paling layak menjadi ibu negaranya. Costantinople telah pun menjadi ibu negara Empayar Byzantine semenjak penubuhannya. Ini menjadikan bandar berkenaan sebagai salah sebuah bandar terbesar dan utama dunia.

Kedudukan Costantinople yang sedemikian rupa, meletakkan ia di kedudukan yang istimewa apabila umat Islam memulakan agenda pertembungan mereka dengan Empayar Byzantine. Rasulullah SAW telah pun beberapa kali memberikan khabar gembira tentang pembukaan kota ini di tangan umat Islam seperti yang dinyatakan oleh Baginda SAW di dalam peperangan Khandak. Sabda baginda SAW : ”Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya”.
Terdapat banyak lagi hadith lain seperti ini dan ia menimbulkan keghairahan para khalifah dan pemimpin Islam untuk berusaha menawan kota Costantinople berkenaan. Usaha pertama dilancarkan pada tahun 44H iaitu di zaman Muawiyah bin Abi Sufian RA. Akan tetapi, usaha berkenaan gagal dan Abu Ayyub Al-Ansari yang merupakan salah seorang sahabat Nabi yang menyertainya, syahid di pinggir kota Costantinople berkenaan. Manakala di zaman Sulaiman bin Abdul Malik pula, Khilafah Umayah telah menyediakan pasukan terhandal untuk menawan kembali kota berkenaan pada tahun 98H tetapi masih belum diizinkan oleh Allah SWT. (rujuk Al-Ibar oleh Ibnu Khaldun 3 / 70 dan Tarikh Khalifah bin Khayyath ms. 315)

Di zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah, beberapa usaha diteruskan tetapi masih menemui kegagalan termasuk usaha di zaman Khalifah Harun Ar-Rasyid tahun 190H.

Selepas kejatuhan Baghdad tahun 656H, usaha menawan Costantinople diteruskan pula oleh kerajaan-kerajaan kecil di Asia Minor (Anatolia) terutamanya Kerajaan Seljuk. Pemimpin masyhurnya, Alp Arslan (455-465H / 1063-1072M) telah berjaya mengalahkan Maharaja Rum, Dimonos, pada tahun 463H / 1070M. Beliau telah menangkap lalu memenjarakannya sebelum dibebaskan dengan persetujuan untuk membayar jizyah tahunan kepada Kesultanan Seljuk. Peristiwa ini telah meletakkan sebahagian besar Empayar Rom di bawah pengaruh Kerajaan Islam Seljuk.

Bagaimana pun, selepas daripada merosot dan jatuhnya Kerajaan Seljuk berkenaan, terbentuk pula beberapa kerajaan kecil di Anatolia. Antaranya ialah kerajaan Seljuk Rum yang telah berjaya meluaskan kekuasaannya sehingga ke pantai Laut Ege di barat, seterusnya melemahkan pengaruh dan kekuasaan Empayar Rom.

Costantinople Dan Daulah ‘Uthmaniyyah

Di awal kurun ke-8 hijrah / 14M, Daulah Uthmaniyyah telah mengadakan persepakatan bersama Seljuk Rum yang ketika itu berpusat di bandar Konya. Persepakatan ini memberikan nafas baru kepada usaha umat Islam untuk menawan Costantinople. Usaha awal yang dibuat ialah di zaman Sultan Yildrim Beyazid yang mana beliau telah berjaya mengepung kota itu pada tahun 796H / 1393M. Peluang yang ada telah digunakan oleh Sultan Beyazid untuk memaksa Maharaja Byzantine menyerahkan Costantinople secara aman kepada umat Islam. Akan tetapi, usahanya itu menemui kegagalan dengan kedatangan bantuan Eropah dan dalam masa yang sama, tentera Mongol di bawah pimpinan Timurlank telah menyerang Daulah ‘Uthmaniyyah. Serangan itu dikenali sebagai Perang Ankara dan ini telah memaksa Sultan Beyazid untuk menarik balik tenteranya bagi mempertahankan negara dari serangan Mongol. Dalam peperangan itu, beliau telah ditawan dan kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1402M. Kejadian itu telah menyebabkan idea untuk menawan Costantinople terhenti untuk beberapa ketika.

Selepas Daulah ‘Uthmaniyyah mencapai ke peringkat yang lebih maju dan tersusun, roh jihad telah hidup semua dengan nafas baru. Semangat dan kesungguhan yang ada itu telah mendorong Sultan Murad II (824-863H / 1421-1451M) untuk meneruskan usaha menawan Costantinople. Beberapa usaha telah berjaya dibuat untuk mengepung kota itu tetapi dalam masa yang sama berlaku pengkhianatan di pihak umat Islam. Mahajara Byzantine telah mengambil peluang ini untuk menabur fitnah dan mengucar-kacirkan saf tentera Islam. Usaha Sultan Murad II itu tidak berjaya sampai ke sasarannya sehinggalah di zaman anak beliau, Sultan Muhammad Al-Fatih, sultan ke-7 Daulah ‘Uthmaniyyah.

Semenjak kecil, Sultan Muhammad Al-Fatih telah meneliti dan meninjau usaha ayahnya menawan Costantinople. Bahkan beliau terus mengkaji tentang usaha-usaha yang pernah dibuat sepanjang sejarah Islam ke arah itu, sehingga menimbulkan keazaman yang kuat untuk beliau meneruskan cita-cita umat Islam zaman berzaman itu. Ketika menaiki takhta pada tahun 855H / 1451M, beliau telah mula berfikir dan menyusun strategi untuk menawan kota berkenaan..

Kekuatan Sultan Muhammad Al-Fatih banyak terletak pada ketinggian peribadinya. Semenjak kecil, beliau telah ditarbiah secara intensif oleh para ulamak terulung di zamannya. Di zaman ayahnya, iaitu Sultan Murad II, Asy-Syeikh Muhammad bin Ismail Al-Kurani telah menjadi murabbi Amir Muhammad (Al-Fatih). Ketika itu, Amir Muhammad adalah ketua bagi kawasan Manisa. Sultan Murad II telah menghantar beberapa orang ulamak untuk mengajar anaknya sebelum itu, tetapi tidak diendahkan oleh Amir Muhammad. Lalu, beliau menghantar Asy-Syeikh Al-Kurani dan memberikan kuasa kepadanya untuk memukul Amir Muhammad jika beliau membantah tunjuk ajar gurunya. Apabila beliau menemui Amir Muhammad dan menjelaskan tentang hak yang diberikan oleh baginda Sultan, Amir Muhammad ketawa lalu dipukul oleh Asy-Syeikh Al-Kurani dengan begitu kuat sekali. Peristiwa ini telah menimbulkan kesan yang mendalam pada diri Amir Muhammad lantas selepas itu beliau terus menghafal Al-Quran dalam masa yang singkat

Tarbiah yang diberikan oleh para ulamak murabbi itu memberikan pengaruh yang besar, bukan hanya kepada peribadi Sultan, bahkan kepada corak pemerintahan dan adat resam Daulah ‘Uthmaniyyah itu sendiri. Sekiranya Sultan melakukan kesilapan, murabbinya itu akan menegur. Sultan juga dipanggilnya dengan nama dan apabila bersalam, Sultan yang akan mencium tangan ulamak yang menjadi murabbinya itu.Dengan tarbiah yang teliti dan penuh terhormat seperti ini, tidak hairanlah jika peribadi-peribadi yang unggul seperti Muhammad Al-Fatih lahir menempa nama di persada sejarah..
Asy-Syeikh Ak Semsettin

Dalam masa yang sama Asy-Syeikh Ak Samsettin (Syamsuddin) merupakan murabbi Sultan Muhammad Al-Fatih yang hakiki. Namanya yang sebenar ialah Muhammad bin Hamzah Ad-Dimasyqi Ar-Rumi yang mana nasabnya sampai kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA. Beliau mengajar Amir Muhammad ilmu-ilmu asas iaitu Al-Qur\'an, Al-Hadith, Feqah, Linguistik (Arab, Parsi dan Turki) dan juga ilmu kemahiran yang lain seperti Matematik, Falak, Sejarah, Ilmu Peperangan dan sebagainya.


Semenjak kecil, Syeikh Ak Semsettin berjaya meyakinkan Amir Muhammad bahawa beliau adalah orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadith pembukaan Costantinople berkenaan. Apabila beliau menaiki takhta, Sultan Muhammad segera menemui Syeikh Ak Semsettin bagi menyiapkan bala tentera ke arah penawanan Costantinople, demi merealisasikan hadith Rasulullah SAW berkenaan. Peperangan yang maha hebat itu memakan masa selama 54 hari.

Sultan Muhammad Al-Fatih sangat menyayangi Syeikh Ak Semsettin. Beliau mempunyai kedudukan yang istimewa pada diri Sultan Muhammad Al-Fatih dan ini sangat jelas dinyatakan oleh beliau ketika pembukaan Istanbul, "...sesungguhnya kamu semua melihat aku gembira sekali. Kegembiraanku ini bukanlah semata-mata kerana kejayaan kita menawan kota ini, akan tetapi ia adalah kerana hadirnya di sisiku syeikhku yang mulia, dialah pendidikku, Asy-Syeikh Ak Semsettin."

Persediaan Ke Arah Penawanan.

Sultan Muhammad Al-Fatih telah membuat persediaan yang besar ke arah mencapai matlamatnya menawan Costantinople. Beliau telah menyediakan mujahid seramai kira-kira 250,000 dan ini merupakan angka yang begitu besar jika dibandingkan dengan tentera negara lain di zaman itu. Para mujahid berkenaan diberikan latihan intensif dan sentiasa diperingatkan dengan pujian Rasulullah SAW kepada tentera yang akan menawan Costantinople itu nanti

Beliau telah membina Kota Rumeli (Rumeli Hisari) di tebing Eropah Selat Bosphorus iaitu di bahagian tersempit antara tebing Asia dan Eropah. Kota yang berhadapan dengan kota binaan Sultan Beyazid di sebelah tebing Asia ini, mempunyai peranan yang besar dalam usaha mengawal lalu lintas di selat tersebut. Maharaja Byzantine telah berusaha gigih untuk menghalang Sultan Muhammad Al-Fatih daripada membina kota berkenaan tetapi gagal menghalangnya.

Sultan Muhammad Al-Fatih juga berusaha untuk mempertingkatkan kelengkapan senjatanya. Beliau telah menapatkan khidmat pakar membina meriam bernama Orban. Beberapa meriam telah dibina termasuk Meriam Diraja yang masyhur. Catatan menceritakan betapa meriam ini adalah yang terbesar di zaman berkenaan. Beratnya beratus tan dan memerlukan beratus tenaga tentera untuk mengangkutnya. Beliau juga menyediakan kira-kira 400 buah kapal laut untuk tujuan yang sama.

Sebelum serangan dibuat, Sultan Muhammad Al-Fatih telah mengadakan perjanjian dengan musuh-musuh yang lain. Ini merupakan strategi yang penting supaya seluruh tenaga dapat ditumpukan kepada musuh yang satu tanpa ada sebarang ancaman yang berada di luar jangkaan. Antaranya ialah perjanjian yang dibuat dengan kerajaan Galata yang berjiran dengan Byzantine. Perkembangan ini sangat membimbangkan Maharaja Byzantine lantas pelbagai cubaan dibuat untuk menawan hati Sultan Muhammad Al-Fatih supaya membatalkan hasratnya. Hadiah dan rasuh cuba dibuat untuk tujuan berkenaan. Akan tetapi semuanya menemui kegagalan.

Keazaman yang begitu kuat pada diri Sultan Muhammad Al-Fatih telah mendorong Maharaja Byzantine berusaha mendapatkan pertolongan daripada negara-negara Eropah. Tanpa segan silu, beliau memohon pertolongan dari kepimpinan gereja Katholik, sedangkan ketika itu semua gereja di Costantinople bermazhab Orthodoks. Atas dasar bermuka-muka demi mengekalkan kuasanya, Maharaja Byzantine telah mengaku bersetuju untuk menukar mazhab di Costantinople demi menyatukan kedua-dua aliran yang saling bermusuh itu. Wakil telah dihantar dari Eropah ke Costantinople untuk tujuan berkenaan. Beliau telah berkhutbah di Gereja Aya Sofya menyatakan ketundukan Byzantine kepada Katholik. Akan tetapi hal ini telah menimbulkan kemarahan penduduk Costantinople yang bermazhab Orthodoks. Sehinggakan ada di antara pemimpin Orthodoks berkata, \"sesungguhnya aku lebih rela melihat di bumi Byzantine ini serban para orang Turki (muslim) daripada aku melihat topi Latin!\"Situasi ini telah mencetuskan pemberotakan rakyat terhadap keputusan maharaja yang dianggap khianat.

Serangan.

Costantinople mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dari aspek geografi. Ia dikelilingi oleh lautan dari tiga penjuru iaitu Selat Bhosphore, Laut Marmara Dan Perairan Tanjung Emas (Golden Horn) yang dihalang pintu masuknya oleh rantai besi raksasa. Ia berfungsi menghalang kapal daripada masuk ke pintu utama Kota Costantinople.

Selepas melalui proses persiapan yang teliti, akhirnya Sultan Muhammad Al-Fatih telah tiba di hadapan kota Costantinople pada hari Khamis 26 Rabiul Awal 857H bersamaan 6 April 1453M. Di hadapan tentera yang menjangkau jumpa 250 ribu, Al-Fatih telah menyampaikan khutbah mengingatkan para mujahid tentang kelebihan jihad, kepentingan memuliakan niat dan harapan kemenangan di hadapan Allah SWT dsb. Beliau juga membacakan ayat-ayat Al-Quran mengenainya serta hadith Nabi SAW tentang pembukaan kota Costantinople. Ini semua memberikan kesan semangat yang tinggi dan jitu pada bala tentera itu lantas mereka menyambutnya dengan zikir, pujian dan doa kepada Allah SWT. Kehadiran para ulamak di tengah-tengah saf para mujahid itu juga menebalkan lagi keazaman mereka untuk menunaikan kewajipan jihad tersebut.

Keesokan harinya, Sultan Muhammad Al-Fatih telah menyusun dan membahagikan tenteranya kepada tiga kumpulan. Pertamanya adalah kumpulan utama yang bertugas mengawal kota yang mengelilingi Costantinople. Di belakang kumpulan utama itu adalah tentera simpanan yang bertugas menyokong tentera utama di hadapan. Meriam Diraja telah dihalakan ke pintu Topkapi. Pasukan pengawal juga diletakkan di beberapa kawasan strategik seperti kawasan-kawasan bukit di sekitar Kota Byzantine itu. Kapal-kapal laut ‘Uthmaniyyah juga diletakkan di sekitar perairan yang mengelilingi Costantinople. Akan tetapi kapal-kapal berkenaan tidak berjaya memasuki perairan Tanjung Emas disebabkan oleh kehadiran rantai raksasa yang mengawal pintu masuk.

Semenjak hari pertama serangan, tentera Byzantine telah berusaha keras menghalang tentera ‘Uthmaniyyah daripada merapati pintu-pintu masuk kota mereka. Tetapi serangan strategik tentera Islam telah berjaya mematahkan halangan itu, ditambah pula dengan serangan meriam dari pelbagai sudut. Bunyi meriam itu telah menimbulkan rasa takut yang amat sangat kepada penduduk Costantinople sehingga menjejaskan semangat mereka untuk bertahan.

Tentera Laut ‘Uthmaniyyah telah mencuba beberapa kali untuk melepasi rantai besi di pintu masuk Tanjung Emas. Dalam masa yang sama, panahan diarahkan kepada kapal-kapal Byzantine danEropah yang tiba untuk membantu. Walau bagaimana pun usaha ini tidak berjaya, dan ini memberikan semacam semangat di awalnya kepada penduduk Costantinople. Para paderi berjalan di lorong-lorong kota, mengingatkan penduduk supaya membanyakkan sabar serta terus berdoa kepada Jesus dan Maryam supaya menyelamatkan Costantinople. Maharaja Byzantine juga berulang-alik ke Gereja Aya Sofya untuk tujuan yang sama.

Perjanjian Al-Fatih Dengan Maharaja Costantine.

Maharaja Costantine mencuba sedaya upayanya untuk menundukkan Al-Fatih. Pelbagai hadiah dan tawaran dikemukakan demi untuk menyelamatkan kedudukannya itu. Akan tetapi Al-Fatih tidak menerima kesemua tawaran itu sebaliknya memberi kata putus supaya Costantinople diserahkan kepada Daulah ‘Uthmaniyyah secara aman. Al-Fatih berjanji, jika Costantinople diserahkan secara aman, tiada seorang pun yang akan diapa-apakan bahkan tiada gereja dan harta benda penduduk Costantinople yang akan dimusnahkan. Antara isi kandungan risalahnya itu, "... serahkan empayar kamu, kota Costantinople. Aku bersumpah bahawa tenteraku tidak akan mengancam sesiapa sama ada nyawa, harta dan kehormatannya. Mereka yang mahu terus tinggal dan hidup dengan amat sejahtera di Costantinople, bebas berbuat demikian. Dan sesiapa yang mahu meninggalkan kota ini dengan aman sejahtera juga dipersilakan".

Walaupun begitu, kepungan tentera Al-Fatih masih belum sempurna disebabkan oleh rantai besi yang melindungi pintu masuk Tanjung Emas itu. Dalam pada itu, para mujahid tetap terus melancarkan serangan demi serangan dan pada 18 April 1453M, pasukan penyerang ‘Uthmaniyyah telah berjaya memecah tembok Byzantine di Lembah Lycos yang terletak di sebelah barat kota. Tentera Byzantine telah berusaha sedaya upayanya untuk mempertahankan kota dari serangan itu. Pertempuran sengit berlaku bersama iringan hujan anak panah yang amat dahsyat.

Pada hari yang sama, beberapa buah kapal laut ‘Uthmaniyyah telah cuba merempuh rantai besi di Tanjung Emas. Akan tetapi, gabungan tentera laut Byzantine dan Eropah telah berjaya menangkis serangan itu bahkan beberapa buah kapal laut ‘Uthmaniyyah telah musnah menyebabkan yang lain terpaksa pulang ke kawasan masing-masing untuk mengelakkan kemusnahan yang berterusan.

Dua hari selepas serangan itu, berlaku sekali lagi serangan laut antara kedua belah pihak. Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri mengawasi misi berkenaan dari pantai. Beliau telah menghantar utusan kepada tentera laut yang sedang berperang. Katanya, ".. sama ada kamu tawan kapal-kapal itu atau pun kamu tenggelamkan sahaja kesemuanya. Sekiranya kamu gagal, maka jangan pulang kepada kami sedangkan kamu semua hidup!".

Ketika itu juga, Sultan Muhammad Al-Fatih menunggang kudanya sehingga ke gigi laut sambil menjerit dengan sekuat hati nama ketua misi berkenaan, Palta Oglu, untuk memberikan semangat. Kesungguhan Al-Fatih itu, menaikkan semangat tenteranya. Namun, tentera kristian berjaya juga mematahkan serangan mujahidin walaupun mereka bersungguh- sungguh melancarkan serangan demi serangan. Kegagalan tersebut menyebabkan Sultan Muhammad Al-Fatih menjadi begitu marah lalu memecat Palta Oglu dan digantikan dengan Hamzah Pasha.
Kegagalan serangan tersebut telah memberikan kesan yang besar kepada tentera ‘Uthmaniyyah. Khalil Pasha yang merupakan wazir ketika itu cuba untuk memujuk Al-Fatih supaya membatalkan serangan serta menerima sahaja perjanjian penduduk Costantinople untuk tunduk kepada Daulah ‘Uthmaniyyah tanpa menakluknya. Cadangan itu ditolak mentah-mentah oleh Al-Fatih. Kini tiba masanya beliau berfikir tentang helah untuk tentera laut ‘Uthmaniyyah berjaya membolos Tanjung Emas...

Keajaiban Tentera ‘Uthmaniyyah.

Sultan Muhammad Al-Fatih telah menemui satu kaedah luar biasa untuk membawa kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas. Kaedah yang tidak pernah terfikir oleh mana-mana tentera sebelumnya untuk melakukannya. Beliau telah memanggil tenteranya dan menyarankan kepada mereka supaya membawa kapal-kapal itu masuk ke perairan Tanjung Emas melalui jalan darat! Malam itu juga, tentera ‘Uthmaniyyah dengan semangat dan kekuatan luar biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari pantai Besiktas ke Galata melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak melebihi 3 batu! Sesungguhnya kejadian ini sangat luar biasa dan di luar bayangan manusia hingga ke hari ini.

Pagi 22 April itu, penduduk Costantinople dikejutkan dengan laungan takbir dan nasyid para mujahidin di Tanjung Emas. Tiada siapa yang dapat membayangkan bagaimana semua itu boleh berlaku hanya pada satu malam. Bahkan ada yang menyangka bahawa tentera Al-Fatih mendapat bantuan jin dan syaitan! Yilmaz Oztuna di dalam bukunya Osmanli Tarihi menceritakan bagaimana seorang ahli sejarah Byzantine berkata, "Tidaklah kami pernah melihat atau mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad Al-Fatih telah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad Al-Fatih dengan usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!"

Costantine telah bermesyuarat dengan para pemimpin kerajaan Byzantine tentang strategi seterusnya, tetapi mereka gagal mencapai kata sepakat. Costantine menolak cadangan supaya beliau sendiri pergi mendapatkan pertolongan daripada umat kristian di Eropah bahkan tetap dengan keputusannya untuk mempertahankan Costantinople hingga ke titisan darah yang terakhir.

Serangan Besar-besaran Mujahidin.

Dengan kedudukan tentera ‘Uthmaniyyah yang sudah semakin mantap, Sultan Muhammad Al-Fatih telah melancarkan serangan besar-besaran ke benteng terakhir Byzantine. Tembakan meriam yang telah memusnahkan sebuah kapal dagang di Tanjung Emas, menyebabkan tentera Eropah yang lain lari ketakutan. Mereka telah meninggalkan pertempuran melalui kota Galata. Semenjak kejayaan kapal mujahiden memasuki perairan Tanjung Emas, serangan dilancarkan siang dan malam tanpa henti.

Laungan takbir "Allahu Akbar, Allahu Akbar!" yang mengisi ruang angkasa Costantinople telah memberikan semacam serangan psikologi kepada penduduk kota berkenaan. Seakan mendengar panahan petir, semangat mereka terus luntur dengan ancaman demi ancaman kalimah tauhid tentera Al-Fatih itu. Dalam masa yang sama, Al-Fatih dan tenteranya sentiasa mengejutkan mereka dengan seni perang yang baru sehingga menggawatkan pertahanan tentera salib itu.

Ketika ribut yang ada belum reda, penduduk Costantinople menyedari bahawa tentera Islam telah mengorek terowong untuk masuk ke pusat kota. Ketakutan melanda penduduk sehingga mereka curiga dengan bunyi tapak kaki sendiri. Merasakan yang bila-bila masa sahaja tentera 'Turki' akan keluar dari perut bumi berikutan dengan pembinaan terowong itu.

Usaha Damai Terakhir.

Sultan Muhammad Al-Fatih yakin bahawa kemenangan semakin hampir. Kecintaannya kepada Costantinople yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW, mendorong beliau untuk terus berusaha agar Costantine menyerah kalah tanpa terus membiarkan kota itu musnah. Sekali lagi beliau menghantar utusan meminta Costantine supaya menyerahkan Costantinople secara aman. Apabila utusan berkenaan sampai kepadanya, Costantine telah berbincang dengan para menterinya. Ada yang mencadangkan supaya mereka menyerah kalah dan ada pula yang mahukan pertahanan diteruskan hingga ke penamat. Costantine akhirnya bersetuju dengan pandangan kedua lantas menghantar maklum balas dengan katanya,"... syukur kepada Tuhan kerana Sultan mahukan keamanan dan bersedia menerima pembayaran jizyah. Akan tetapi Costantine bersumpah untuk terus bertahan hingga ke akhir hayatnya demi takhta... atau mati sahaja dan dikuburkan di kota ini!". Apabila jawapan Costantine ini diterima, Al-Fatih menjawab, "Baiklah... tidak lama lagi akan terhasil bagiku di Costantinople itu sama ada takhta atau keranda...!".

Perbincangan dilakukan oleh Al-Fatih tentang strategi seterusnya. Pelbagai kemungkinan dipertimbangkan dan akhirnya keputusan dibuat untuk meneruskan rancangan menawan Costantinople sebagaimana yang telah disusun.

Hari Kemenangan.

Pada 27 Mei 1453, Sultan Muhammad Al-Fatih bersama tenteranya telah berusaha keras membersihkan diri di hadapan Allah SWT. Mereka membanyakkan solat, doa dan zikir dengan harapan Allah SWT akan memudahkan kemenangan. Para ulamak pula memeriksa barisan tentera sambil memberi semangat kepada para mujahidin. Mereka diperingatkan tentang kelebihan jihad dan syahid serta kemuliaan para syuhada' terdahulu khususnya Abu Ayyub Al-Ansari RA. "...sesungguhnya apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah ketika kemenangan hijrah, baginda SAW telah pergi ke rumah Abu Ayyub Al-Ansari. Sesungguhnya Abu Ayyub telah pun datang (ke Costantinople) dan berada di sini!" Kata-kata ini telah membakar semangat tentera Al-Fatih hingga ke kemuncaknya.

Dalam masa yang sama, penduduk Costantine melakukan upacara peribadatan secara bersungguh-sungguh dengan harapan Tuhan akan membantu mereka...

Tepat jam 1 pagi hari Selasa 20 Jamadil Awal 857H / 29 Mei 1453M, serangan utama dilancarkan. Para mujahidin diperintahkan supaya meninggikan suara takbir kalimah tauhid sambil menyerang kota. Penduduk Costantinople telah berada di kemuncak ketakutan mereka pagi itu. Mujahidin yang sememangnya menginginkan syahid, begitu berani menyerbu tentera salib di kota itu.

Tentera ‘Uthmaniyyah akhirnya berjaya menembusi kota Costantinople melalui Pintu Edirne dan mereka telah mengibarkan bendera Daulah ‘Uthmaniyyah di puncak kota. Costantine yang melihat kejadian itu berasa putus asa untuk bertahan lantas menanggalkan pakaian maharajanya supaya tidak dikenali musuh. Akhirnya beliau menemui ajal dalam keadaan yang amat mengaibkan.

Berita kematian Costantine telah menaikkan lagi semangat tentera Islam untuk menyerang. Begitu juga sebaliknya, bagaikan pokok tercabut akar, tentera salib menjadi kucar kacir apabila berita kematian maharajanya tersebar. Kesungguhan dan semangat juang yang tinggi di kalangan tentera Al-Fatih, akhirnya berjaya sampai ke cita-cita mereka. Kejayaan menguasai Costantinople telah disambut dengan penuh rasa syukur oleh Al-Fatih serta... seisi langit dan bumi. Beliau bertitah, ".. Alhamdulillah, semoga Allah merahmati para syuhada', memberikan kemuliaan kepada mujahidin, serta kebanggaan dan syukur buat rakyatku"


Sebaik-baik Ketua Dan Tentera.

Pada hari itu, majoriti penduduk Costantinople bersembunyi di gereja-gereja sekitar kota. Sultan Muhammad Al-Fatih berpesan kepada tenteranya supaya bermuamalah dengan baik kepada penduduk Costantinople sambil mengucapkan tahniah kepada tenteranya yang berjaya merealisasikan sabda Rasulullah SAW:

Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.

Dengan penuh rasa syukur dan tawadhu, Sultan Muhammad Al-Fatih telah sujud ke bumi mengucapkan sebesar-besar syukur ke hadrat Allah atas kemenangan bersejarah itu.

Beliau kemudiannya menuju ke Gereja Aya Sofya yang ketika itu menjadi tempat perlindungan sejumlah besar penduduk kota berkenaan. Ketakutan jelas terbayang di wajah masing-masing bilamana beliau menghampiri pintu. Salah seorang paderi telah membuka pintu gereja, dan Al-Fatih meminta beliau supaya menenangkan sekalian mereka yang ada. Dengan toleransi Al-Fatih, ramai yang keluar dari tempat persembunyian masing-masing bahkan ada di kalangan paderi yang terus menyatakan keislaman mereka.

Selepas itu, Sultan Muhammad Al-Fatih telah mengarahkan supaya gereja berkenaan ditukar menjadi masjid supaya Jumaat pertama nanti akan dikerjakan solat di masjid ini. Para pekerja bertugas bertungkus lumus menanggalkan salib, patung dan gambar-gambar untuk tujuan berkenaan. Pada hari Jumaat itu, Sultan Muhammad Al-Fatih bersama para muslimin telah mendirikan solat Jumaat di Masjid Aya Sofya. Khutbah yang pertama di Aya Sofya itu telah disampaikan oleh Asy-Syeikh Ak Semsettin. Pada hari itu juga Sultan Muhammad Al-Fatih telah bersumpah bahawa barangsiapa yang menukar Masjid Aya Sofya kembali kepada gereja, maka akan berolehlah kutukan dan laknat darinya dan Tuhan Masjid Aya Sofya itu.

Nama Costantinople kemudiannya ditukar kepada "Islam Bol", yang bermaksud "Bandar Islam" dan kemudiannya dijadikan sebagai ibu negara ketiga Khilafah ‘Uthmaniyyah selepas Bursa dan Edirne . Kekallah bumi yang mulia itu sebagai pusat pemerintahan, ketamadunan, keilmuan dan keagungan Islam berkurun lamanya.. sehinggalah Khilafah ‘Uthmaniyyah ditamatkan sejarahnya oleh Mustafa Kemal Ataturk secara rasminya pada tahun 1924M.

Aya Sofya kembali dikristiankan oleh Ataturk atas nama muzium. Gambar- gambar syirik kembali bertempelan di kubah masjid yang berdukacita itu. Manifesto Parti Refah pada pilihanraya yang lalu untuk mengembalikan Masjid Aya Sofya ke kegemilangan sejarahnya, berkubur buat sementara dengan pengharaman parti itu beberapa tahun yang lalu. Sesungguhnya seluruh umat Islam merindukan suara azan membesarkan Allah kembali berkumandang di menara Aya Sofya. Semoga Istanbul kembali ke pangkuan Islam dan muslimin. Amien ya Rabbal 'Alamin.
ISLAM TIDAK AKAN BANGKIT SELAGI UMAT TIDAK MENGUBAH PEMIKIRAN MEREKA
Powered By Blogger