Thursday 23 February 2012

Kepentingan Berdakwah



InsyaAllah, semakin lama, semakin ramai yang lupa dengan hakikat dakwah itu sendiri. Kalau kita perhatikan makna dakwah itu, mesti kita akan kata, ia adalah suatu ajakan kepada kebaikan. Memang tidak akan dapat dinafikan lagi bahawa, itulah maknanya. Tetapi, kalau kita selidik kepada makna dakwah islamiyah pula, kita juga mesti akan katakan bahawa, makna dakwah islamiyah itu adalah ajakan kepada islam. Mungkin ada sesetengah orang sudah memahami makna dakwah islamiyah ini, bahkan mereka telah memahaminya dalam aspek yang mendalam atau dengan kata yang lain, mereka memahaminya dengan apa yang tersirat disebalik makna ini. Fahaman seperti mereka inilah yang diharap para pembaca sekalian dapat mengecapinya. InsyaAllah.
    Untuk menerangkan makna dakwah ini, saya akan mulakan dengan penerangan makna dakwah itu sendiri, kemudiannya dakwah islamiyah.
Dakwah dari segi bahasa ialah; meminta untuk hadir ataupun galakan seseorang kepada seseorang yang lain untuk datang kepada sesuatu. Makna yang lebih jelas dan berkaitan adalah, menyampaikan sesuatu kepada manusia.
Manakala dakwah islamiyah pula ialah, ilmu yang berkaitan dengan cara-cara yang mampu untuk kita capai dengannya beberapa perkara. Ingat, beberapa perkara ini perlu untuk kita kecapi dahulu supaya dapat dibuktikan bahawa, ia merupakan dakwah islamiyah. Perkara-perkara tersebut ialah;
1)    Menyampaikan fahaman islam kepada manusia.
2)    Mengajarkan apa yang terkandung dalam kitab Allah supaya dapat sucikan diri.
3)    Menggalakkan mereka mempraktikkan apa yang telah mereka perolehi daripada apa yang kita sampaikan kepada mereka.

3 Perkara di atas ini merupakan cebisan ayat al-quran dalam surah jumuah ayat:2.

Setelah berlaku 3 perkara ini, barulah kita namakan ia ‘permulaan dakwah’. Para pembaca sekalian, di sini, saya ingin memohon kepada anda semua dan juga insan yang mempunyai titisan iman di dalam dada, untuk kita rasai kepentingan menyampaikan dakwah kepada saudara-saudara kita yang tidak mempunyai titisan iman seperti yang kita rasai. Kita berdakwah bukanlah sekadar menyampaikan kefahaman islam sahaja. Malahan, kita dikehendaki untuk menyampaikan dakwah supaya timbulnya iman dalam diri orang yang didakwah itu. Kita perlu rasai betapa rosaknya manusia pada era kini. Saya ingin melontarkan beberapa persoalan kepada para pembaca sekalian. Adakah kita akan menangis jika ahli keluarga kita ditimpa kemalangan? Adakah kita akan mengangis jika ahli keluarga kita meninggal? Saya yakin, mesti kita akan menghadapi dengan kesedihan dan penderitaan meskipun ia ujian daripada Allah Taala. Tetapi, adakah kita akan menangis jika kita melihat umat islam telah rosak dan hancur? Adakah tanggungjawab untuk memperbaiki diri mereka hadir di hati kita? Sedarlah wahai sahabat-sahabat sekalian, umat sekarang ini benar-benar berada di ambang kerosakan yang nyata. Mereka seolah-olah tidak mengenal apa itu islam atau dengan kata yang lain, mereka tidak menjadikan islam itu sebagai jalan kehidupan. Ingatlah, ketikamana kita berada dalam kesesatan, maka islamlah pengubatnya. Islam yang bagaimana? Ketahuilah bahawa islam yang dimaksudkan ialah islam yang mengenal hakikat dakwah. Bilamana kita faham erti dakwah, insyaAllah, kita akan jadikan islam itu sebagai pegangan hidup kita. Di akhir kalimah, saya ingin berkongsi kata-kata seorang ulama; ‘..tegakkanlah islam dalam dirimu, maka akan tertegaklah islam dalam negara kamu…’

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger