Gambar Hiasan |
InsyaAllah. Untuk kali ini, saya ingin
mengupaskan berkaitan dengan maksud sejarah itu sendiri. Ramai yang faham
bahawa sejarah itu berkait rapat dengan masa dan peristiwa, tetapi tidak ramai
yang mengetahui bahawa, sejarah itu bukan hanya terbatas pada dua perkara ini.
Sebaliknya kita harus meneroka, apakah yang terdapat disebalik peristiwa itu?
Jika seseorang itu mengenali sejarah dengan mengambil berat tentang masa,
tarikh, peristiwa tanpa menyelidik apa yang ada disebaliknya, maka ia bukanlah
pengkaji sejarah.
Sejarah dari segi bahasa: Mengetahui masa
dan tarikh. (Al-Jauhari-1/418)
Dari segi istilah pula, sebenarnya
ulama-ulama islam sendiri berselisih pendapat untuk menetapkan erti sejarah itu
sendiri. Pada kurun ketiga, para sejarawan telah pun menulis buku-buku tentang
sejarah islam, tetapi mereka tidak memperjelaskan dengan lebih terperinci
maksud sejarah itu. Sebaliknya, mereka hanya sekadar mengarang dari aspek
matlamat sejarah, faedah-faedah dalam mempelajari sejarah. Sebenarnya, ini pun
sudah cukup untuk seseorang memahami sejarah.
Sejarah dari segi istilah: Sejarah itu
bukanlah peristiwa, akan tetapi, ia merupakan tafsiran daripada peristiwa itu.
(Ustaz Sayyid Qutb/fikrah wa manhaj-37).
Matlamat
mempelajari sejarah
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa, kita
perlulah melonjakkan diri kita untuk mempelajari ilmu sejarah. Kenapa? Ia
adalah salah satu cabang daripada ilmu-ilmu penting yang bergelimpangan di
dunia ini. Para ulama yang menulis tentang sejarah telah menganggap bahawa, ia
merupakan salah satu ilmu yang boleh menyumbang dalam memahami Syariah Islamiyah,
samada dari aspek tafsir nas al-quran mahupun mengenali ilmu periwayatan
ataupun yang penting sekali, mengetahui tentang sejarah Nabi Muhammad S.a.w.
serta para Sahabat R.A. Tidak lupa juga, ia dapat mengetahui juga tentang
imam-mam besar dari kalangan para Tabi’in dan banyak lagi. Sebenarnya, dalam
mengkaji sejarah ini, ia tidaklah terbatas untuk memahami sejarah islam sahaja,
tidak. Sebenarnya, ia juga mampu menggapai pemahaman kepada yang lain daripada
islam walaupun melalui sejarah islam bahkan, ia akan menjadi lebih bermanfaat.
Faedah
pembelajaran sejarah
Tidak dapat
dinafikan lagi bahawa, pembelajaran sejarah merupakan satu pembelajaran yang
dapat mengisi sesuatu ruang yang masih kosong. Saya ingin kemukakan contoh
kepada kalian, bagaimanakah ilmu sejarah ini boleh dikatakan di antara salah
satu ilmu yang amat penting. Mari kita bayangkan. Jika kita memasak masakan
seperti kari, nasi goreng atau sebagainya, adakah kita memerlukan garam?
Jawapannya, sudah tentu kita amat memerlukannya bukan? Jadi, garam itu menjadi aspek
yang utama dalam memberikan manfaat yang besar kepada sesuatu masakan. Begitu
juga jika kita bandingkan dengan sejarah. Ia juga adalah satu aspek yang
penting dalam mempelajari sesuatu ilmu seperti Syariah Islamiyah. Malahan juga,
dalam kalangan orang Eropah, mereka menganggap bahawa, ilmu sejarah merupakan
ilmu yang terlalu agung bagi mereka. Mereka telah meletakkannya pada kedudukan
yang amat tinggi. Mereka juga memandang ilmu sejarah ini sebagai ilmu yang
positif kerana bagi mereka, ia dapat menafsirkan dan menjelaskan
tentang kemunculan manusia dan alam semula jadi. Itu
adalah di antara kelebihan sejarah yang mereka fahami. Tetapi, bagi kita
sebagai Muslim, kita hendaklah menjadikannya lebih daripada itu. Ini kerana,
Allah telah menjadikan islam itu satu kedudukan yang istimewa dalam dunia ini.
Sebagaimana dinyatakan dalam hadis Nabi S.a.w:
الإسلام يعلو ولا يعلى
Maksudnya: Islam itu adalah tinggi dan tidak ada yang
tertinggi daripadanya
(Hadis yang dikeluarkan oleh At-Thobroni dalam Al-Ausoth dan
Al-Baihaqi).
Saya
tidak akan menerangkan kepada kalian faedah-faedah sejarah itu sendiri.
Sebaliknya, saya akan menerangkan, apakah jenis faedah yang dituntut untuk
kalian mengecapinya.
Sebenarnya, faedahnya terlalu banyak
tetapi, saya ingin kemukakan faedah yang terlalu penting sahaja yang sangat
ditekankan oleh kebanyakan pakar sejarah islam. Mereka menggalakkan kepada kita
supaya mencari faedah-faedah yang Tarbawi. Bagaimana? Di dalam islam, kita mempunyai sejarah kita yang tersendiri seperti,
mempelajari sejarah umat-umat yang terdahulu serta meneroka keadaan mereka, dan
juga mengambil pelajaran tentang keadaan dan nasib mereka sebagaimana Allah
telah memerintah nabi kita Muhammad S.a.w. supaya menuruti jejak langkah
rasul-rasul terdahulu. Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-An’am: 90.
أولئك الذين
هدى الله فبهداهم اقتده))
Maksudnya: ‘..mereka itulah(para nabi) yang telah diberi
petunjuk oleh Allah, maka ikutilah petunjuk mereka’
Sekadar inilah ulasan faedah yang mampu saya ulaskan. Sebelum saya
mengakhiri penulisan ini, saya ingin menggalakkan kepada para pembaca sekalian
beberapa perkara yang telah digalakkan oleh para ulama iaitu, kita hendaklah
mengetahui mercu tanda dalam mempelajari sejarah kemanusiaan. Antaranya,
mengetahui sejarah para nabi terlebih dahulu daripada sejarah insan lain.
Kenapa? Sahabat-sahabat yang dirahmati
Allah, tanpa kita sedari, sebenarnya sejarah para nabi itu sebenarnya merupakan
jalan asas dalam mempelajari sejarah kemanusiaan semenjak Allah menciptakan
nabi kita yang pertama lagi iaitu, Nabi Adam A.s. Perkara yang kedua ialah,
mengetahui sirah Nabi Muhammad S.a.w. Saya yakin, ramai yang mengetahui tentang
sirah Nabi Muhammad S.a.w. Tetapi, seramai mana yang telah menghayatinya?
Seterusnya, kita hendaklah menyelidik juga sejarah para Khulafa’ Ar-Rasyidun
kerana mereka adalah orang yang paling hampir dan mengenali tentang Rasulullah
S.a.w. sehingga Rasulullah mengatakan mereka ini adalah umat manusia yang
terbaik sesudah baginda S.a.w. Para ulama adalah pewaris para nabi. Jadi, kita
juga tidak dikecualikan untuk membaca dan mengenali tentang mereka ataupun
sejarah kejayaan mereka kerana mereka pun memilki peribadi yang baik sesudah
mereka yang telah saya sebutkan sebentar tadi. Yang terakhirnya, kita mesti
mengetahui apa-apa pun sejarah yang berkaitan dengan islam. Tidak menjadi
kesalahan jika kalian ingin membaca, mengkaji dan menghayati sejarah Amerika,
Rusia, China, Israel dan Serbia. Ini adalah kerana setiap negara, bangsa dan
tamadun mempunyai keistimewaan, keunikan dan iktibarnya yang tersendiri.
Lagipun pembacaan sejarah yang meluas dan pelbagai menjadikan skop minda
bertambah luas dan terbuka. Sejarah boleh membantu meningkatkan kemahiran
menganalisis, membanding, meramal dan membuat kesimpulan. Lebih jauh dari itu,
sejarah juga boleh membantu meningkatkan kemahiran menggunakan logik dan
kreativiti, meninggikan daya intelek dan ketajaman fikiran individu. Jadi, kita
kena ingat bahawa, perkara yang telah saya lampirkan di atas bukanlah menjadi
satu kewajipan kepada kita untuk menjejak. Sebaliknya, kalian mesti jelas
bahawa, ini adalah salah satu cadangan yang diberikan dan digalakkan oleh
pakar-pakar sejarah islam. Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment