Monday 6 February 2012

Cara Menghadapi Dunia



    Iman. Apa yang anda faham dengan iman? Menjaga hubungan dengan Allah dengan melaksanakan solat? Qiamullail setiap malam? Jika anda mengatakan ‘ya’, maka itulah sebahagian dari jawapannya.
                                     
    Para sahabat yang dirahmati Allah sekalian, pernahkah anda berseorangan? Tidak kiralah bila.. samada waktu siang ataupun di tengah malam dengan sejadahnya.. Ketikamana anda berseorangan itu, siapakah yang hadir dalam diri anda? Ketikamana anda berada di rumah berseorangan, ditambah pula komputer berada di depan mata sambil melayari internet, siapakah yang hadir dalam hati anda ketika itu? Mungkin hati kita sedang mengingati Allah, tetapi tidak mustahil kita boleh melakukan kemurkaan. Na’uzubillah..

    Firman Allah S.W.T. :
Terjemahannya:

Janganlah  kamu bersikap lemah dan janganlah kamu  bersedih  hati, padahal kamu orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.  "
(Surah Ali 'Imran: ayat 139.)

    Sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah, inilah hakikat iman yang sebenarnya. Kita berseorangan memikirkan keadaan islam dan kita menangis dengan keadaan umatnya, tidak kiralah dalam apa jua keadaan sekalipun, dan dalam keadaan diri kita lemah dan cukup syarat untuk berputus asa itu, kita terus menghadirkan Allah dalam hati kita serta kita merayu dan mengemis kekuatan daripadanya untuk terus tabah menentang arus kehidupan yang semakin deras membawa Jahiliah.

     Setelah dibacakan ayat ini, jelaslah bahawa, perasaan agung dan mulia menggenggam keimanan itu bukanlah sekadar keazaman dan semangat yang berkobar semata-semata, tetapi ia memerlukan diri anda yang bernama Muslim untuk menceburinya. Ia hendaklah dihadirkan rasa keagungan iman berdasarkan kebenaran yang hakiki. Memang fitrah manusia bagi siapa yang menghadapi cabaran, pasti akan merasa lemah jika ia mengikat tali sesama manusia sahaja tanpa mengikat dengan ikatan yang teguh dengan Raja Sekalian Alam. Bersyukurlah bahawa Allah itu Rabb kita. Dia telah membentangkan berbagai nikmat kepada kita. Ketahuilah bahawa, pujukan Allah kepada kita dengan ayat (139) di atas adalah salah satu nikmat yang teramat besar dikurniakan untuk kita. Untunglah. (“padahal kamu orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman. “).

    Seperti ayat yang telah dibacakan sebentar tadi, dapatlah disimpulkan bahawa, orang beriman itu adalah yang terbaik kerana ia telah menjadikan Allah itu sebagai tempat pergantungannya. Berbalik kepada sejarah Sultan Muhammad Al-Fateh, bagaimanakah Costantinopel itu berjaya dijatuhkan dan ditukar kepada Islambol(Istanbul)? Sultan Muhammad Al-Fateh adalah seorang insan yang lemah seperti kita. Tetapi, dengan iman yang hakiki, dan disamping menjadikan Allah sebagai pusat pergantungan harapan, maka, ianya mudah dijatuhkan. Apa yang nak dihairankan jika costantinopel jatuh ditangan orang yang beriman? Tiada yang mustahil bagi Allah untuk mengurniakannya. Jika berlaku apa jua pertandingan seperti bola sepak dan sebagainya di antara pasukan orang yang bergantung harap kepada Allah melawan dengan pasukan yang hanya bergantung harap kepada pemain-pemain hebat-hebat yang diimport dari serata dunia, bila kita sedang bertempur, di manakah kita meletakkan Allah untuk mengurniakan kemenangan kepada kita? Jika kita menjadikan Allah untuk alasan kita menang, maka kemenangan itu akan berpihak kepada kita dengan izinnya. Jika sebaliknya... Fikir-fikirkanlah wahai sahabat...

    Bilamana kita melayari apa jua media, kita akan mendapati bahawa, dunia ini seolah-olah adalah milik orang yang tidak beriman kepada Allah.

    Bagaimana mereka boleh memilikinya sedangkan Allah menjadikan dunia ini untuk kita. Bersabarlah, walaupun orang kafir memiliki seluruh dunia ini, apa yang rugi pada diri kita? Jika mereka berjaya menguasai dunia ini sekalipun, apa yang dikesal oleh orang mu’min jika Allah dan syurga menjadi sasaran? Teringat kata-kata seorang ulama’; ‘Biarlah kita nampak lemah dalam keadaan kita kuat, tetapi janganlah sesekali kita nampak kuat dalam keadaa kita lemah’. Refrleshlah kembali iman kita bahawa dunia ini akan hancur bersama dengan orang kafir yang menikmatinya. Hayatilah firman Allah:
Terjemahannya:

Jangan  sesekali  terpedaya dengan kebebasan  orang-orang  kafir bergerak  di  dalam  negeri. Itu  hanyalah  kesenangan  sementara, kemudian tempat tinggal mereka adalah neraka jahannam dan jahannam adalah  tempat  seburuk-buruknya. Akan  tetapi  orang-orang  yang bertaqwa  kepada  Tuhannya, bagi mereka syurga yang  mengalir  di bawahnya  sungai-sungai sedang mereka di dalamnya sebagai  tempat tinggal,  anugerah  dari sisi Allah. Dan apa yang di  sisi  Allah adalah lebih baik bagi orang yang berbakti.  "
(Surah Ali 'Imran: ayat 196-198.)


 Apakah kita masih teringin untuk menikmatinya?

    Walaupun kita memerlukan jangka yang teramat panjang untuk mampu memiliki dunia, maka kita juga dituntut untuk mengubah masyarakat yang bathil, jahil dan sering melakukan zina. Kita telah memiliki hidayah dengan izinnya. Adakah kita memanfaatkan hidayah yang Allah berikan kepada kita? Jika tidak, kenapa kita membiarkan hidayah membeku di dada. Bergeraklah dengan hidayah yang kita ada walaupun sedikit. Bayangkanlah, orang-orang eropah yang baru mendapat hidayah pun sudah berasa izzah dengan hidayah yang mereka miliki walaupun sedikit, dan mereka juga ingin memahamkan islam kepada orang lain juga dengan hidayah mereka yang sedikit itu. Kita? Sahabat-sahabat sekalian, pandanglah masyarakat dengan belas kasihan, kerana mereka adalah calon-calon neraka Allah, janganlah membiarkan mereka mengundi neraka, sebaliknya, biarlah mereka mengundi syurga Allah yang kekal. Selamatkanlah mereka dari azab neraka Allah..

    Fitrah adalah satu perkara yang tidak mampu untuk dielak. Maka ketahuilah bahawa orang yang mengajak kepada kebaikan pasti menghadapi ujian yang tidak diduga seperti Nabi S.A.W. Jangan kita tertekan dengan cabaran ini. Tidak adillah kalau Nabi Muhammad S.A.W. menghadapi ujian yang berat, kenapa kita dikecualikan? Kalau tidak dengan izin Allah, tidak sampailah islam kepada kita. Kita juga perlu mencontohi baginda S.A.W dalam menyampaikan islam kepada orang lain. Orang yang beriman seperti bara bara api yang digenggam. Walaupun diejek, dihina, tetap tidak menghiraukannya, bahkan merasa nikmat dengannya. MasyaAllah... Firman Allah;
Terjemahannya:
Dan mulailah Nuh membuat bahtera.  Dan setiap kali pemimpin kaumnya berjalan melewati Nuh, mereka mengejeknya.  Berkatalah Nuh : Jika kamu mengejek kami, maka sesungguhnya kamipun mengejek kamu seperti kamu mengejek kami.  "(Surah Hud: ayat 38.)
  
    Sambungan dari firman Allah;
Terjemahannya:

Sesungguhnya  orang-orang  yang berdosa,  adalah  mereka  dahulu mentertawakan  orang yang beriman. Dan apabila  orang-orang  yang beriman  lalu  di  hadapan  mereka,  mereka  saling  mengerdipkan matanya.  Dan  apabila  orang-orang berdosa  itu  kembali  kepada kaumnya,  mereka  kembali  dengan  gembira.  Dan  apabila  mereka melihat  orang-orang  mu'min  mereka  mengatakan:   "Sesungguhnya mereka  itu  benar-benar orang yang sesat." Pada hal  orang  yang berdosa  itu tidak dikirimkan untuk menjadi penjaga  bagi  orang-orang   mu'min.   Maka   pada  hari   ini   orang-orang   beriman mentertawakan  orang-orang  kafir.  Mereka duduk  di  atas  katil bertilam dan sambil memandang. Sesungguhnya orang-orang kafir itu telah diberi ganjaran terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan  “
(Surah al-Mutaffifin: ayat 29-36.)

    Aqidah mampu dihasilkan tanpa sebarang kekayaan perlu dimiliki. Tetapi tidak semestinya yang memiliki kekayaan tidak mampu menghasilkan aqidah. Semuanya berbalik kepada kesungguhan dan ketabahan hati kita untuk memperteguhkannya. Sebagai kesimpulannya, biarlah kesesatan mempunyai kekuatan kerana mereka tidak akan mampu untuk mengubah kebenaran..



No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger